Nilai: “Kami memang tahu dia (Lola) ada dua anak, seorang sihat dan seorang lagi cacat. Tetapi, dia tidak bercampur dengan kami atau memberitahu masalah dihadapinya.
“Kami terkejut sejurus mengetahui anak lelakinya yang cacat itu ditemui dalam keadaan kebuluran dan tidak terurus,” kata jiran kepada wanita dikenali sebagai Lola, 40, ibu remaja orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15.
Jiran terbabit yang mahu dikenali sebagai Eton, 40-an, berkata, biarpun tinggal berjiran bersama Lola di tingkat satu Flat Semarak, Taman Semarak, di sini, dia tidak pernah bergaul menyebabkan penduduk tidak tahu masalah hidupnya.
Katanya, pada 1999, Lola menetap di tingkat tiga flat sama sebelum berpindah ke tingkat satu pada 2007.
“Namun, sepanjang mengenali Lola, saya hanya melihat wanita itu keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang di sebelah malam, malah tidak bergaul dengan jiran,” katanya.
Eton berkata, Lola juga sukar dilihat kerana kedudukan rumah sewanya paling hujung bersebelahan tangga dan tidak melalui hadapan rumahnya untuk turun ke bawah.
“Sejak 15 tahun tinggal di sini, hanya satu atau dua kali Lola datang ke majlis anjuran flat menyebabkan ramai tidak mengetahui kehadirannya di sini,” katanya yang memaklumkan wanita itu hanya sekali datang berhari raya di rumahnya pada 2011 bersama anak keduanya.
sumber dari
myMetro